@inurislam

@inurislam

Sunday, 4 January 2015

Bagaimanakah payudara saya berubah semasa hamil



Sebaik sahaja anda hamil, payudara anda mula bersiap-sedia untuk menyusukan bayi. Salah satu tanda bahawa anda sedang hamil ialah payudara menjadi lembut dan membengkak. Ini disebabkan oleh peningkatan hormon dalam badan anda.

Anda juga mungkin mendapati bahawa areola, iaitu bahagian kulit di sekitar puting anda, menjadi lebih gelap dan bintik-bintik kecil mula keluar. Perubahan warna areola ini sebenarnya ialah kaedah semula jadi untuk memberi panduan visual kepada bayi anda ke mana harus dituju apabila hendak menyusu.

Bintik-bintik kecil di sekitar areola pula menghasilkan bahan berminyak yang membersih, melicin dan melindungi puting anda daripada jangkitan semasa penyusuan badan.

Menjelang kelahiran bayi, tisu-tisu kelenjar dalam payudara anda akan membesar dua kali ganda. Apabila susu mula keluar selepas bayi dilahirkan, anda akan rasa payudara menjadi lebih berat dan penuh. Setiap satunya mungkin bertambah berat sebanyak 700 gram!
Bagaimanakah payudara menghasilkan susu?
Dalam setiap payudara terdapat kelenjar susu, iaitu organ yang menghasilkan susu badan. Dalam setiap kelenjar susu pula terdapat beberapa bahagian yang mempunyai tugas masing-masing dalam penghasilan susu badan:


Alveoli. Ini adalah tempat di mana susu badan dihasilkan. Alveoli merupakan kelompok-kelompok kantung kecil seakan-akan buah anggur di dalam payudara anda. Alveoli dikelilingi oleh otot-otot kecil yang menekannya untuk mengeluarkan susu masuk ke dalam duktul.
Duktul. Duktul ialah salur-salur kecil yang menyalirkan susu daripada alveoli ke dalam duktus susu utama.
Duktus susu. Ini adalah jaringan rumit salur-salur kecil yang membawa susu daripada duktul dan alveoli terus kepada bayi. Bayangkan duktus susu anda sebagai penyedut-penyedut minuman kecial yang kesemua hujungnya terletak di puting anda dan menyalirkan susu ke dalam mulut bayi. Duktus ini membesar dan jumlahnya bertambah semasa anda hamil. Anda mungkin mempunyai kira-kira Sembilan duktus dalam setiap payudara menjelang masa anda mula menyusukan.
Ketika sedang hamil, anda mungkin ternampak beberapa titik susu keluar daripada payudara. Hakikatnya, sistem pembuatan susu anda telahpun bersedia pada sekitar trimester kedua. Oleh itu, anda sudah boleh menyusukan bayi walaupun jika dia lahir pramatang.

Selepas bayi anda dilahirkan dan plasenta (uri) juga telah dikeluarkan, tahap hormon estrogen dan progesteron dalam badan anda mula jatuh. Ini memberi laluan kepada hormon prolaktin untuk dilepaskan daripada kelenjar pituitari yang terletak di dalam otak anda.

Hormon prolaktin memberi isyarat kepada badan supaya menghasilkan banyak susu untuk diberi kepada bayi. Prolaktin boleh membuatkan anda rasa lebih bersifat keibuan, dan oleh itu sesetengah pakar memanggilnya hormon keibuan.

No comments:

Post a Comment

Tips nak hamil

Kepada anda yang ingin mengandung dan mendapatkan anak, saya sarankan agar anda mengamalkan nasihat berikut: Elakkan: Minum coca cola, pep...