Thursday, 15 January 2015

Kelebihan Bengkung Dan Bertungku Selepas Bersalin

Faedah Bengkung Kepada Ibu

“Kehamilan dan pelahiran mengganggu badan wanita dan, kesemua otot-otot, tulang, urat, sendi, dan lain-lain, sudah bertukar keadaan dan menjadi kembang dan bengkak disebabkan pengaruh hormon hamil,” kata Datin Sharifah Anisah Barakbah, pengasas Nona Roguy (sekarang NR) dan penulis buku Ensiklopedia Perbidanan Melayu. “Bengkung boleh mengempiskan perut, mengecutkan rahim bengkak dan merapatkan faraj yang telah regang dan longgar.”

Berbengkung juga dipercayai boleh membantu:

Mengempiskan perut dan mengurangkan berat badan supaya potongan badan kembali kepada bentuk asal;
Melindungi organ dalaman dan membolehkannya lebih cepat kecut dan kembali ke tempat asal;
Membantu menyokong dan menguatkan otot abdomen yang lemah akibat regangan ketika mengandung;
Menggalakkan postur yang baik, justeru, membantu penyusuan bayi;
Memecahkan lemak dan selulit;
Mencegah dari makan berlebihan.

Anda perlu memakai bengkung berkualiti tinggi yang boleh dipakai dengan ketat sepanjang hari dan tidak terurai sampai mandi petang atau hari kemudiannya. Bengkung hendaklah dipakai sepanjang masa, siang dan malam (namun sekarang sesetengah wanita cuma memakainya untuk beberapa jam sahaja dalam sehari).

Pastikanlah ia dipakai secara betul, iaitu bermula dari bawah, tutupkan semua abdomen, dan ikat sampai ke bahagian di bawah payudara.

Bengkung yang terlalu pendek atau tidak dipasang dengan betul akan menjejaskan pemulihan rahim sebab rahim akan tertolak ke bawah.

Bengkung biasanya tidak dipakai begitu sahaja.
Lapiklah bengkung dengan kain buruk supaya tidak kotor, kemudian alaskan dengan daun-daunan seperti daun pandan atau lengkuas.
Sapukan minyak dengan ramuan rempah dan herba; sapu juga di bahagian belakang.
Jika sukar untuk mendapatkan daun-daunan herba, gunakanlah ubat krim bengkung yang boleh dibeli di kedai.

Sepatutnya, berbengkung sahaja tidak mencukupi. Amalan-amalan lain seperti urut, bertungku, jamu dan mandian herba melengkapkan amalan berpantang. Jika diikuti dengan taat dan sempurna, amalan berpantang boleh membantu ibu baru mengurangkan berat badan serta mengimbangi paras hormon mereka.

Faedah Bertungku Kepada Ibu

Selain bengkung dan rawatan lain yang dilakukan untuk melegakan dan menegangkan kembali otot-otot yang longgar, bertungku juga penting dalam proses mengembalikan kesegaran dan mengecutkan rahim. Bertungku bererti menuam bahagian tertentu badan dengan menggunakan batu atau besi yang dipanaskan (mungkin juga dengan bahan yang lain).

Tujuan bertungku ialah untuk megeluarkan saki baki darah kotor, mengecutkan dan memulihkan rahim dan juga urat saraf di sekeliling peranakan dan bahagian-bahagian lain. Rahim tidak akan bersih sepenuhnya jika darah berhenti awal dan ini mengugat kesihatan. Jadi, tujuan bertungku ialah untuk memastikan semua kotoran dan toksin dikeluarkan daripada badan. Ketika bertungku badan akan berpeluh dan terasa hangat. Ini akan memudahkan pemulihan tenaga.

Bertungku juga dipercayai dapat:

Memecahkan lemak;
Mengecutkan rahim dan organ yang bengkak akibat bersalin;
Mengembalikan tubuh badan kepada keadaan asal.

Bahagian Badan Yang Perlu Ditungku

Bahagian Peranakan

Bertujuan untuk mengecutkan peranakan yang membesar sewaktu mengandung. Peranakan juga perlu disangkak (dinaikkan) atas dengan menolak bahagian rahim dari bawah sehingga menghampiri bahagian pusat. Menyangkak hanya boleh dilakukan oleh orang yang mahir.

Peranakan yang tidak dinaikkan menyebabkan perut menjadi buncit dan rasa tidak selesa, seolah-olah ada benda menonjol yang hendak keluar dari faraj. Bertungku di bahagian ini memakan masa lebih kurang 25 minit. Bertungku juga memerlukan kemahiran. Ada juga orang yang menaikkan peranakan dengan berurut terlebih dahulu. Setelah itu barulah beralih ke bahagian lain, iaitu di bahagian kemaluan.

Bahagian Badan

Iaitu di bahagian dada, ulu hati, tengkuk, ketiak dan belikat. Bertungku di bahagian ini dilakukan ketika ibu dalam keadaan berbaring. Tungku diletakkan di sekitar buah dada, supaya darah mengalir dengan baik, membolehkan air susu keluar dengan lancar. Selepas itu baru beralih ke bahagian ulu hati, iaitu untuk memecahkan angin di bahagian perut dan ulu hati. Lakukan dalam masa lebih kurang 5 – 10 minit sahaja.

Setelah itu beralih ke bahagian ketiak kanan dan kiri. Kemudian barulah dilakukan di bahagian belikat kanan untuk beberapa minit, yang kemudiannya dipindahkan ke bahagian kiri.

Di bahagian tengkuk, bertungku dilakukan dengan meletakkan tungku di bawah tengkuk seperti orang berbantal. Bahagian ini perlu ditungku untuk memulihkan perjalanan darah di bahagian kepala dan leher.

Bahagian Bawah

Iaitu bahagian betis,paha, punggung, pinggang, pelipat, pergelangan kaki dan tapak kaki. Bertungku di bahagian-bahagian ini memerlukan masa antara 15 – 20 minit pada setiap bahagian. Pada bahagian terakhir, iaitu di tapak kaki, kaki dirapatkan menjadi satu kemudian digerakkan ke hadapan dan ke belakang, atau dengan mengolek-golekkan tungku ke hadapan dan ke belakang sekiranya tungku itu berbentuk bujur atau bulat. Biarkan tungku berada di bahagian ini sehingga sejuk.

Adalah lebih baik sekiranya ibu dibantu ketika bertungku, terutamanya pada hari pertama, kedua dan ketiga. Walaupun demikian, membakar tungku perlu dilakukan oleh orang lain kerana ia merupakan kerja berat bagi seseorang ibu yang baru bersalin. Dengan adanya tungku-tungku moden di pasaran, mungkin sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban bagi ibu-ibu ini. 

Sumber: Kak Engku Bidan Bersalin

Pakej Bengkung Dan Tungku

Kami ada menyediakan Pakej Bengkung Dan Tungku Herba.

Pakej ini terdiri daripada:

No comments:

Post a Comment